Thursday, November 12, 2009

Malayan Union dan Reaksi Masyarakat Pribumi Terhadap Penubuhannya.

1.0 PENGENALAN

Malayan Union telah di perkenalkan pada 1 April 1946 iaitu selepas Jepun menyerah kalah pada tahun 1945 dan maka di sini tamatlah Perang Dunia Kedua.Gabenor pertama dan terakhir Malayan Union ialah Sir Edward Gent.Selepas Jepun berundur dari Tanah Melayu, berlaku satu kekacauan dan huru-hara yang telah di lakukan oleh Parti Komunis Malaya melalui Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA) yang ingin mengambil kuasa pemerintahan di Tanah Melayu.Anggota ini telah berjaya menguasai Tanah Melayu dengan tempoh 14 hari sahaja dan mereka telah membuat banyak kekacauan dan huru-hara sehingga menguggat keamanan Tanah Melayu dalam tempoh tersebut.Bagi memulihkan keamanan , British telah kembali semula ke Tanah Melayu pada tahun 1945 dan menubuhkan Pentadbiran Tentera British (British Military Administration – BMA).British merasakan bahawa pemerintahan menggunakan kuasa tentera adalah amat perlu memandangkan keadaan pada masa itu adalah huru-hara dan mengancam keamanan.Pemerintahan menggunakan kuasa tentera ini tidak bertahan lama dan telah di gantikan dengan pemerintahan baru yang di kenali sebagai Malayan Union.Kabinet Perancangan di England telah meluluskan syor yang di kemukakan oleh Perancangan Tanah Melayu pada 31 Mei 1944 supaya satu sistem pemerintahan baru di perkenalkan oleh British.Pada 10 Oktober 1945, George Hall (Setiausaha Tanah Jajahan) dalam Parlimen Inggeris telah membentangkan satu kertas putih yang berkaitan dengan sistem pentadbiran baru British yang di kenali sebagai Malayan Union.Pada 11 Oktober 1945, Rancangan Malayan Union ini telah di siarkan dalam akhbar-akhbar di Tanah Melayu.Bagi memastikan Rancangan Malayan Union ini berjalan dengan lancar, Sir Harold MacMichael telah di hantar ke Tanah Melayu pada 12 Oktober 1945 bagi mendapatkan tandatangan daripada Raja-raja Melayu walau dengan cara apa sekali pun.Penubuhan Malayan Union adalah bertujuan untuk menjadikan sembilan buah negeri-negeri Melayu yang terdiri daripada Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu tidak Bersekutu dan dua buah Negeri-negeri Selat iaitu Pulau Pinang dan Melaka menjadi sebuah pemerintahan yang di ketuai oleh Gabenor.Namun penubuhan Malayan Union ini telah mendapat banyak reaksi daripada masyarakat pribumi khususnya mayarakat Melayu yang menganggap bahawa Malayan Union sebagai satu taktik British menghancurkan kuasa dan hak orang-orang Melayu di tanah sendiri.Banyak bentuk-bentuk penentangan telah di laksanakan oleh masyarakat pribumi bagi menghalang pembentukan Malayan Union.Berdasarkan peristiwa ini telah banyak pengajaran yang dapat kita perolehi selepas kita melalui banyak rintangan untuk mendapatkan kemerdekaan dan seterusnya membela maruah bangsa sebagai bangsa yang bermaruah.

1.0 CIRI-CIRI MALAYAN UNION

Secara terperinci ciri-ciri pembentukan Malayan Union yang diisytiharkan secara rasmi oleh kerajaan British pada 1 April 1946 dengan Edward Gent sebagai Gabenornya yang pertama adalah dari segi ciri-ciri pentadbiran iaitu Gabenor Inggeris merupakan ketua pentadbir Malayan Union yang berpusat di Kuala Lumpur. Semua undang-undang yang diluluskan mesti mendapat kelulusan Gabenor. Gabenor dibantu oleh Majlis Mesyuarat Kerja dan Majlis Perundangan dibahagian peringkat pusat manakala bahagian peringkat negeri pula ditubuhkan Majlis Tempatan yang mana mempunyai kuasa terhad kerana tertakluk kepada kawalan pemerintahan pusat[1] dan kesemua negeri Melayu jatuh tarafnya menjadi daerah sahaja, misalnya Negeri Pahang menjadi Daerah Pahang. Keadaan ini secara tidak langsung menjadikan tidak ada lagi Tanah Melayu dan Negeri-negeri Melayu dalam peta Malayan Union.

Semua negeri Melayu disatukan dibawah pemerintahan Gabenor British kecuali Singapura. Hal ini kerana, di Singapura inilah terletaknya kepentingan utama ekonomi British sebagai sebuah pangkalan tentera laut untuk operasi strateginya dan British sedar perkauman merupakan masalah politik utama di Tanah Melayu yang mana British tidak mahu masala politik perkauman di Tanah Melayu menjejaskan kepentingan ekonomi-politiknya di Singapura. Namun begitu, tujuan utama British mengecualikan penyertaan Singapura ke dalam Malayan Union adalah disebabkan oleh kepentingan ekonominya di Singapura dan kedudukan strategik Singapura sebagai pelabuhan mendorong pihak British untuk mengekalkan Singapura sebagai Tanah jajahan London.

Dari segi ciri-ciri peranan dan kuasa Raja-raja Melayu di sini dapat dilihat di mana Raja-raja Melayu menjadi penasihat sahaja dalam Majlis Negeri dan sekadar menjadi ahli Majlis Penasihat Sultan, Majlis Raja-raja dan Majlis Agama Islam. Kedaulatan Raja-raja Melayu dihapuskan dimana Sultan hanya sebagai satu gelaran dan mereka hanya boleh bersuara dalam soal yang menyentuh Agama Islam dan adat resam Melayu sahaja[2]. Dalam Majlis Agama Islam, kuasa Sultan dilucutkan dan diberikan kepada Gabenor dan ini bermakna hal ehwal Islam akan dikuasai oleh Gabenor. Bahkan, perlantikan Sultan dalam Majlis Penasihat Sultan mesti tertakluk kepada restu Gabenor. Sultan menjadi boneka politik kepada kerajaan Kolonial British kerana Sultan sudah tidak ada kuasa melainkan dalam Agama Islam dan adat istiadat sahaja. Ini menunjukkan kedaulatan British di Tanah Melayu di mana pihak British bertindak mengawal semua perkara mengenai Tanah Melayu dan mereka lebih berkuasa berbanding sebelum pendudukan Jepun[3]. Jelas sekali di sini British begitu serius menghapuskan kuasa raja dan status negeri Melayu dengan harapan supaya kesetiaan orang Melayu terhadap raja dapat dihapuskan dan semangat kenegerian mereka dapat dikikis. British tersilap dalam percaturan ini kerana tindakan tersebut telah membangkitkan amarah orang Melayu.

Prinsip kerakyatan dalam Malayan Union ianya berdasarkan prinsip jus soli. Menerusi prinsip ini hak kerakyatan yang sama diberikan bagi semua orang tanpa mengambil kira bangsa dan keturunan. Ini termasuk penerimaan kemasukan dalam perkhidmatan kerajaan dan hak mengundi dalam pilihanraya umum. Mereka yang telah menetap di Tanah Melayu sebelum Malayan Union boleh menjadi warganegara secara automatik. Mengikut prinsip ini, sesiapa yang berumur 18 tahun dan ke atas serta telah bermastautin di Persekutuan atau Singapura selama 10 daripada 15 tahun sebelum 15 Februari 1942 akan diberi kerakyatan. Kanak-kanak di bawah umur 18 tahun secara tidak langsung yang ibu bapanya warganegara turut diberi kerakyatan. Sebenarnya pelaksanaan prinsip jus soli ini akan menghilangkan majoriti kaum Melayu di Tanah Melayu. Prinsip jus soli yang diperkenalkan oleh British ini bercanggah dengan amalan seluruh dunia. Pemberian kerakyatan secara prinsip jus soli ini adalah untuk dapatkan sokongan bukan Melayu. Prinsip jus soli ini merupakan syarat kerakyatan yang paling longgar dalam sejarah dunia malah tidak juga pernah dilaksanakan di Britain sendiri.

2.0 FAKTOR PENUBUHAN MALAYAN UNION

British telah menubuhkan Malayan Union pada 1 April 1946. terdapat pelbagai sebab yang yang menyebabkan British menubuhkan Malayan Union di Tanah Melayu. Antara sebab utama ialah pihak British ingin mewujudkan satu pentadbiran pusat yang lebih berkesan. Jika di lihat sebelum ini terdapat tiga corak pemerintahan yang berbeza di Tanah Melayu.Corak pemerintahan ini juga adalah tidak seragam. James V. Allen dalam bukunya “The Malayan Union” menegaskan bahawa sistem pentadbiran tersebut bukan sahaja janggal tetapi mahal. Sistem pentadbiran sebelum perang perlu dihapuskan kerana ianya mempunyai banyak kelemahan. Corak pemerintahan yang di maksudkan ialah corak pemerintahan Negeri-negeri Selat(Pulau Pinang dan Melaka) , Negeri-negeri Melayu Bersekutu(Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan) dan Negeri-negeri Melayu tidak Bersekutu(Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu). British ingin menyatukan ketiga-tiga corak pemerintahan ini di bawah satu pemerintahan pusat. British berpendapat bahawa dengan penyatuan negeri-negeri ini di bawah Malayan Union, mereka akan dapat menghasilkan satu jentera pentadbiran yang lebih selaras dan licin Ia juga akan dapat menjimatkan perbelanjaan pentadbiran.

Sebab yang lain mengapa Malayan Union di tubuhkan adalah sebagai persediaan Tanah Melayu kearah berkerajaan sendiri. Pada hemat pihak British, Malayan Union yang di tubuhkan adalah sebagai persediaan orang melayu ke arah berkerajaan sendiri. Mereka mengatakan bahawa sebelum hasrat ini tercapai, satu bentuk pentadbiran yang cekap perlu di adakan dan pentadbiran yang di maksudkan adalah Malayan Union. Melalui Malayan Union, penduduk Tanah Melayu akan di latih untuk melakukan kerja-kerja pentadbiran dengan lebih cekap. Tanah Melayu akan diberi latihan ke arah berkerajaan sendiri sesuai dengan Piagam Atlantik 1945. Piagam tersebut menganjurkan masa depan sesebuah negara ditentukan oleh rakyatnya sendiri.

Seterusnya, Malayan Union yang di tubuhkan bertujuan untuk mengimbangi perkembangan ekonomi. Sebelum perang meletus di Tanah Melayu, perkembangan ekonomi antara negeri-negeri di Tanah Melayu adalah tidak seimbang. Ini dapat di buktikan kerana perkembangan ekonomi di Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu adalah lebih maju dan pesat jika di bandingkan dengan Negeri-negeri Melayu tidak Bersekutu. British berpendapat bahawa jika semua negeri-negeri ini di gabungkan di bawah satu unit politik, ia akan dapat mengimbangi perkembangan ekonomi di Tanah Melayu.Ini secara tidak laangsung akan dapat memajukan ekonomi Tanah Melayu secara menyeluruh. Selain itu Malayan Union juga bertujuan untuk mengenang jasa orang-orang Cina. James V. Allen juga mendakwa penubuhan Malayan Union adalah bertujuan untuk mengenang jasa orang Cina yang telah bekerjasama dengan British untuk menentang Jepun. . Majoriti orang Cina telah menjadi anggota Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA) dan telah bersama-sama dengan pihak British dalam usaha untuk mengusir tentera Jepun dari Tanah Melayu.

Selain itu perlembagaan Malayan Union yang di rangka adalah salah satu langkah pihak British untuk menghalang usaha orang melayu untuk menuntut kemerdekaan. Selain menghalang usaha untuk orang melayu menuntut kemerdekaan, perlembagaan Malayan Union secara tidak langsung akan dapat membendung semangat kebangsaan orang-orang melayu. Sejak pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu, orang-orang melayu telah berusah untuk mendapatkan kemerdekaan. Justeru itu, pihak British telah mengambil langkah awal untuk mematahkan hasrat orang melayu ini dengan merangka perlembagaan Malayan Union. Menerusi perlembagaan Malayan Union, Tanah Melayu akan menjadi Tanah Jajahan Mahkota British.Di samping itu, Penubuhan Malayan Union ini juga adalah bertujuan untuk memudahkan pihak British menyusun strategi pertahanan.Hal ini kerana sebelum Perang Dunia Kedua meletus,pihak British mendapati amat sukar bagi mereka untuk menyusun strategi pertahanan di Tanah Melayu kerana bukan semua negeri ditadbir secara langsung oleh British.Oleh itu mereka berpendapat bahawa sekiranya semua negeri digabungkan sebagai satu unit politik, ia akan memudahkan mereka untuk menyusun strategi peperangan yang lebih berkesan.

Sebab lain yang menyebabkan Malayan Union di tubuhkan ialah untuk membalas dendam terhadap orang Melayu kerana orang-orang melayu telah menyokong tentera Jepun. James V. Allen dalam bukunya “The Malayan Union” menegaskan bahawa sejak kekalahan pihak British di tangan Jepun, majoriti pegawai British adalah bersikap anti-Melayu kerana mereka kecewa dengan tindakan dan orang Melayu yang telah bekerjasama dengan tentera Jepun. Akibatnya, perlembagaan Malayan Union adalah amat merugikan orang-orang Melayu itu sendiri, terutamanya yang berkaitan dengan hak keistimewaan dan kekuasaan serta kewibawaan Sultan yang menjadi tonggak kepada negara. Melalui perlembagaan Malayan Union sultan tidak mempunyai kekuasaan dalam aspek pentadbiran. Sultan hanya mempunyai kuasa dalam hal-hal yang berkaitan dengan Hal Ehwal agama islam dan adat resam orang melayu di mana mereka dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Melayu di negeri masing-masing.

Seterusnya, penubuhan perlembagaan Malayan Union adalah bertujuan untuk melahirkan semangat cintakan Tanah Melayu terutamanya dalam kalangan orang-orang Cina dan India di Tanah Melayu.Hal ini kerana taat setia dalam kalangan orang-orang Cina dan India masih lagi kepada negara asal mereka. Pihak British berharap bahawa dengan pemberian kerakyatan yang longgar menerusi prinsip Jus Soli, orang Cina dan India akan menumpukan taat setia mereka kepada Tanah Melayu apabila mereka menjadi warganegara Malayan Union kelak.

3.0 REAKSI MASYARAKAT PRIBUMI TERHADAP MALAYAN UNION

Berbagai pihak telah menentang Penubuhan Malayan Union.Penentangan yang paling hebat datangnya daripada orang Melayu.Penentangan yang telah di lakukan oleh masyarakat Melayu terbahagi kepada dua peringkat iaitu peringkat individu dan peringkat kolektif.[4] Di peringkat pertama, individu-individu telah menyuarakan penentangan mereka melalui media-media massa seperti dalam akhbar-akhbar melayu.Antara akhbar-akhbar Melayu yang menjadi medium untuk menyampaikan penentangan ini adalah seperti akbar Majlis dan Utusan Melayu. Antara perkara yang menjadi focus pertama dalam penentangan ini adalah perkara yang berkaitan dengan penghapusan kuasa dan kedaulatan Raja-raja Melayu dan pemberian hak-hak kerakyatan kepada kaum asing menerusi prinsip-prinsip jus soli.Peringkat kedua pula adalah peringkat penentangan secara kolektif lagi teratur di amana orang-orang Melayu menggunakan pertubuhan mereka seperti persatuan-persatuan Melayu di peringkat negeri dan nasional.Persatuan-persatuan ini di pimpin oleh mereka yang telah terdedah dengan pendidikan di luar negara dan kembali ke Tanah Melayu lalu menjadi pemimpin kepada penentangan ke atas dasar-dasar British yang di rasakan mengugat hak-hak orang Melayu itu sendiri.Persatuan-persatuan ini telah mengadakan demonstrasi di kebanyakan negeri bagi menunjukkan bantahan mereka.Namun setiap penentangan-penentanag ini juga bukanlah di lakukan begitu sahaja tanpa ada sebab-sebab tertentu.Banyak faktor yang telah menyebabkan orang Melayu menentang penubuahan Malayan Union.

FAKTOR PENENTANGAN TERHADAP MALAYAN UNION

3.01 Cara Sir Harold MacMichael mendapatkan tandatangan daripada sultan.

Pada 12 Oktober 1945, Utusan Inggeris, Sir Harold MacMichael telah di hantar ke Tanah Melayu dalam rangka menepati usaha-usaha terakhir dan penting untuk menjayakan penubuhan Malayan Union.Beliau telah di utus khas oleh Kerajaan Inggeris untuk mendapatkan perkenan dan tandatangan DYMM Raja-raja Melayu sebagai tanda persetujuan penubuhan gagasan Inggeris itu.Pengumuman rasmi mengenai penubuhan Malayan Union telah di buat di Parlimen Inggeris sehari sebelum ketibaan MacMichael di Tanah Melayu.Jarak waktu yang terlalu singkat antara masa pengumuman dan ketibaan utusan Inggeris ini tidak memberi kesempatan kepada DYMM Raja-raja Melayu untuk berunding dengan Orang-Orang besar dan rakyat jelata.[5] Sir Harold MacMichael telah menggunakan beberapa cara untuk memastikan DYMM Raja-raja Melayu menandatangani surat persetujuan penubuhan Malayan Union ini.Cara bersulit-sulit dan tersembunyi yang di lakukan oleh Sir Harold MacMichael berserta tipu helah dan ugutan telah menghasilkan kejayaan kepada beliau.Menjelang bulan Januari 1946, Sir Harold MacMichael berangkat ke London dengan membawa sembilan tandatangan Baginda Raja-raja Melayu.Dengan adanya tandatangan ini, secara automatiknya ia telah mengesahkan penubuhan Malayan Union.

Tipu helah dan ugutan daripada Sir Harold MacMichael ini telah menimbulkan kemarahan dan tentangan daripada rakyat khususnya orang-orang Melayu yang menganggap bahawa tindakan Sir Harold MacMichael ini adalah menghina Raja-raja Melayu dan mengugat kedaulatan Raja-raja Melayu yang di anggap lambang kedaulatan dan perpaduan masyarakat Melayu.Manakala DYMM Raja-raja Melayu pula menyesal dengan tindakan tersebut dan bertindak mengutus surat dan telegram kepada Pejabat Tanah Jajahan di London dengan membangkitkan rasa kesal dan murka di atas tindakan biadab Sir Harold MacMichael ini.[6] Atas sebab ini, berlakulah penentangan hebat daripada orang-orang Melayu bagi menghalang penubuhan Malayan Union ini.

3.02 Kehilangan kuasa daulat Raja-raja Melayu

Apabila pentadbiran Malayan Union di laksanakan, kuasa dan kedaulatan Raja-raja Melayu telah terhapus.[7]Dalam kalangan orang Melayu, raja di anggap berdaulat dan mempunyai kuasa untuk memberi perlindungan kepada mereka.Apabila kuasa telah terhapus dan hilang, orang merasakan kuasa orang Melayu juga telah hilang.Pada pandangan masyarakat Melayu, raja atau sultan itu merupakan lambang kuasa dan kedaulatan orang Melayu. Dalam Malayan Union,raja hanya bertindak sebagai ketua agama dan adat-istiadat orang-orang Melayu.Oleh yang demikian,raja bagi tiap-tiap negeri akan mengetuai sebuah “Majlis Penasihat Melayu” –(Malay Advisory Counsil) yang ahli-ahlinya akan dilantik dengan persetujuan Gabenor.[8] Kerja-kerja Majlis Penasihat Melayu itu hanya yang berkaitan dengan agama Islam.Sultan-sultan tidak lagi mempunyai peranan sebagai kerajaan negeri masing-masing dan pengaruh mereka hanya dihadkan kepada bidang agama islam.Akhbar Majlis mentafsirkan kedudukan raja-raja sebagai Mufti dalam negeri mereka dan dalam urusan hal-ehwal agama pun,kuasa mereka dibawah kawalan Gabenor Malayan Union.Tetapi yang paling penting bagi umat melayu ialah kedaulatan negeri-negeri Melayu yang pada masa dahulu di tangan raja-raja Melayu telah dipindahkan kepada Kerajaan British yang mempunyai kuasa penuh dalam semua perkara dalam apa jua dasar di Tanah Melayu.[9]

3.03 Kedudukan orang Melayu sendiri terjejas

Dalam Perlembagaan Malayan Union,kerakyatan diberikan secara bebas kepada bangsa asing.Keadaan ini menyebabkan ramai rakyat asing menjadi rakyat Tanah Melayu dan bilangan mereka melebihi bilangan orang Melayu.Keadaan ini mengancam kedudukan dan hak istimewa orang Melayu. [10]

3.04 Syarat kewarganegaraan yang longgar

Syarat-syarat kerakyatan yang longgar terutamanya prinsip jus soli juga menjadi antara punca penentangan orang melayu khususnya parti pilitik UMNO itu sendiri yang menjadi wakil suara rakyat. Ini bermakna jika seseorang itu dilahirkan di Tanah Melayu selepas Malayan Union ditubuhkan, maka ia berhak mendapat hak kerakyatan Tanah Melayu. Prinsip jus soli ini menentukan hak kerakyatan menerusi tempat lahir. Cara ini membolehkan orang bukan Melayu mendapat hak kerakyatan dengan mudah. Penerimaan kaum bukan Melayu menjadi warganegara boleh mengancam kedudukan politik orang Melayu, apabila bilangan orang asing melebihi bilangan orang Melayu.[11]

Syarat-syarat sedemikian akan membolehkan ramai orang asing menjadi rakyat Tanah Melayu dan menjadikan bilangan mereka melebihi bilangan orang melayu di Tanah Melayu. Menurut banci pada tahun 1947, orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu berjumlah 2 427 834 atau 49.46 peratus daripada jumlah penduduk, sementara orang Cina pula berjumlah 1 884 534 atau 38 peratus.[12]

Jikalau perwakilan diadakan secara demokratik ke dalam sesebuah Majlis, bilangan wakil asing akan melebihi bilangan wakil Melayu dan ini sudah tentu akan menjejaskan kedudukan politik orang Melayu. Lebih-lebih lagi, orang asing masih menumpukan taat setia mereka kepada negara mereka dan boleh memegang dua kerakyatan.

Orang-orang Melayu khususnya UMNO juga menentang kerakyatan Tanah Melayu yang memberikan hak-hak yang sama kepada semua rakyat Tanah Melayu tanpa mengira kaum. Langkah ini akan mengancam hak-hak dan kedudukan istimewa orang Melayu yang telah sekian lama dinikmati. Orang Melayu merasa sebagai kaum Bumiputera di Tanah Melayu mereka semestinya diberikan hak-hak dan kedudukan yang istimewa berbanding dengan orang asing yang merupakan kaum pendatang.[13]

Orang Melayu mahupun UMNO juga tidak bersetuju dengan syarat kerakyatan yang longgar mengikut prinsip jus soli. Orang Melayu tidak mahu orang Cina dan India diberi syarat kerakyatan yang longgar kerana mereka masih tidak yakin dengan taat setia orang Cina dan India terhadap Tanah Melayu. Pemberian taraf kerakyatan yang longgar akan menyebabkan ramai orang Cina dan India menjadi warganegara Tanah Melayu. Orang Melayu bimbang orang Cina yang sudahpun menguasai ekonomi akan menguasai politik apabila bilangan mereka melebihi orang Melayu.

3.05 Bertentangan dengan perjanjian Piagam Atlantik

· Piagam Atlantik merupakan persetujuan antara Perdana Menteri British dan Presiden Amerika Syarikat semasa Perang Dunia Kedua apabila mereka menjanjikan kemerdekaan kepada tanah jajahan mereka jika Britain dan Amerika Syarikat menang dalam peperangan tersebut.Tujuan British dan Amerika Syarikat membuat janji ini ialah kerana mereka mengharapkan agar penduduk bekas jajahan takluk mereka tidak akan menyokong musuh-musuh mereka seperti Jepun dan Jerman.[14]

4.0 BENTUK-BENTUK PENENTANGAN

4.01 Melalui akhbar

· Akhbar-akhbar telah memainkan peranan penting dalam membangkitkan penentangan orang Melayu terhadap MU. Akhbar-akhbar telah mendedahkan keburukan dan kerugian yang akan dialami oleh orang Melayu jika MU dilaksanakan. Orang Melayu telah diseru supaya bersatu dalam usaha menentang MU. Orang Melayu juga diseru supaya memulihkan pertubuhan yang telah wujud dan menubuhkan pertubuhan baru. Pertubuhan-pertubuhan ini perlu digabungkan bagi menguatkan penentangan orang Melayu terhadap MU. Berita tentang penentangan orang Melayu dimuatkan dalam akhbar untuk pengetahuan orang-orang Melayu di seluruh Tanah Melayu. Di antara akhbar-akhbar tersebut ialah Utusan Melayu, Warta Negara, Majlis dan Pelita Malaya.

4.02 Kongres

· Hasil dari daya usaha Kesatuan Melayu Selangor dan Dato’ Onn bin Jaafar, Kongres Melayu Se-Malaya diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 1-4 Mac 1946. Kongres tersebut dihadiri 107 perwakilan dan 56 pemerhati dari 41 pertubuhan Melayu di seluruh Tanah Melayu. Kongres tersebut telah mendesak orang Melayu supaya bersatu dan berusaha untuk menentang MU. Kongres tersebut juga mencadangkan supaya ditubuhkan sebuah pertubuhan Melayu yang akan dianggotai oleh orang Melayu di seluruh Tanah Melayu. Pada 29 dan 30 Mac 1946, Kongres Melayu Se-Malaya Kedua diadakan di Kuala Lumpur bagi membincangkan penubuhan pertubuhan Melayu tersebut. Akibatnya lahirlah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang lebih dikenali sebagai UMNO dalam Kongres Melayu Se-Malaya Ketiga di Johor Bahru pada 11 Mei 1946. Dato’ Onn bin Jaafar dilantik sebagai Presiden UMNO yang pertama.

4.03 Pemulauan

· Walaupun mendapat tentangan orang Melayu, British tetap mahu melaksanakan MU. Akibatnya, Sultan-sultan, pembesar-pembesar dan orang-orang Melayu telah memulaukan upacara panubuhan MU dan perlantikan Edward Gent sebagai Gabenor pertama pada 1 April 1946.

4.04 Berkabung

· Selama seminggu sejak penubuhan MU, orang Melayu telah mengadakan perkabungan untuk menunjukkan betapa sedihnya mereka akibat penubuhan MU. Dalam perkabungan tersebut, lelaki Melayu memakai songkok yang dililit kain putih manakal wanita Melayu melilitkan kain putih di lengan baju. Perkabungan orang Melayu mendapat simpati orang asli. Diberitakan dalam akhbar Pelita Malaya, bertarikh 5 April 1946, orang-orang Sakai di Ulu Langat telah keluar ke Pekan dengan memakai bunga-bunga kabung.

4.05 Kerjasama

· Sultan-sultan, pembesar-pembesar dan orang-orang Melayu telah bersatu dan bekerjasama dalam usaha menentang MU. Mereka telah menulis surat kepada Raja British dan bekas pegawai British yang pernah berkhidmat di Tanah Melayu memohon sokongan mereka terhadap perjuangan orang Melayu. Mereka juga mendesak Kerajaan British dan Pejabat Tanah Jajahan membatalkan rancangan penubuhan MU dan merangka perlembagaan baru yang sesuai dijalankan di Tanah Melayu khususnya yang dapat melindungi kepentingan orang Melayu. Bekas pegawai British tersebut telah menulis dalam akhbar di Britain, terutamanya akhbar Times untuk menyatakan sokongan mereka terhadap perjuangan orang Melayu. Antara bekas pegawai British tersebut ialah Frank Swettenham, Authur Richard, Cecil Clementi, Rolland Braddle dan Winstreadt. Orang-orang Melayu telah mengadakan perarakan dan perhimpunan di semua ibu negeri dan di bandar-bandar lain di Tanah Melayu untuk menunjukkan bantahan mereka terhadap MU. Sebagai contoh: pada 15 Disember 1945, 10 ribu orang telah berkumpul di hadapan istana di Kota Bahru semasa Harold MacMichael menemui Sultan untuk mendapatkan tandatangan. Pada 25 Januari 1946, hampir 5000 orang telah mengadakan perhimpunan di Padang Mahkamah, Alor Setar. Pada 10 Februari 1946, perhimpunan yang dihadiri oleh 15 ribu orang diadakan di Johor Bahru. Satu perhimpunan raksasa yang dihadiri lebih 50 ribu orang diadakan di Kuala Kangsar pada 10 Mac 1946.

5.0 KESAN DARIPADA PENUBUHAN MALAYAN UNION MALAYAN UNION

Tertubuhnya Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948

Penentangan orang Melayu bagi menggantikan Malayan Union di bawah pimpinan Dato’ Onn Jaafar telah menghasilkan sebuah jawatankuasa kerja yang terdiri daripada raja-raja Melayu, wakil kerajaan British dan UMNO. Di mana jawatankuasa ini telah berjaya merangka sebuah perlembagaan baru bagi mengantikan Malayan Union. Perlembagaan ini di kenali sebagai Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang melibatkan 9 buah negeri dan Negeri-Negeri Selat, iaitu Melaka, Pulau Pinang dan Singapura. Tetapi Singapura kekal sebagai tanah jajahan Inggeris yang berasingan.[15]

Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu telah memberikan beberapa kesan di mana raja-raja Melayu telah diberikan semula hak-hak utama, kuasa dan bidang kuasa ke atas negeri mereka masing-masing seperti sebelumnya. Ini bermakna kedaulatan raja Melayu telah dikembalikan semula. Sultan telah menjadi raja yang berdaulat di negeri masing-masing tetapi tetap di bawah lindungan British. Sungguh pun British gagal menjadikan Semenanjung Tanah Melayu sebagai sebuah tanah jajahan, namun ia berjaya menyatukan 9 buah negeri Melayu dan 2 buah Negeri Selat di bawah satu pentadbiran. Oleh itu, di Tanah Melayu sudah tidak wujud lagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri-Negeri Selat.[16] Buat pertama kalinya, dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu telah memulakan satu undang-undang kerakyatan meliputi seluruh negara dan membolehkan penduduk bukan bumiputera menjadi warganegara Tanah Melayu. Sungguhpun kelayakan yang dikehendaki untuk menjadi warganegara adalah terhad, tetapi dasar kelayakan meraka itu telah terbentuk.[17]

Langkah menubuhkan negeri persekutuan itu bolehlah dikatakan bahawa ia lebih daripada langkah bertolak ansur dalam pertikaian politik Tanah Melayu. Dengan peruntukan seperti itu, Persekutuan yang dibentuk dalam Perjanjian Persekutuan 1948, telah membentuk satu konsep negara bangsa Tanah Melayu yang tidak lagi bersifat tradisional Melayu sepenuhnya. Perlembagaan Persekutuan 1948 telah membentuk satu bentuk kerakyatan baru yang selama ini tidak terdapat dalam tradisi kerakyatan Negeri-Negeri Melayu iaitu penerimaan orang dagang sebagai rakyat Tanah Melayu. Mengikut Fasal 25, Kerakyatan Persekutuan, anak-anak yang belum cukup umur boleh menjadi rakyat dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

(a) Iaitu sama ada

(i) Ia telah dilahirkan dalam mana-mana negeri dalam persekutuan dan telah tinggal dalam satu atau lebih negeri-negeri itu selama 8 tahun daripada tempoh 12 tahun.

(ii) Telah tinggal selama 15 tahun daripada 20 tahun daripada tarikh permohonannya.

(b) Berperagai baik

(c) Mempunyai pengetahuan atau fasih dalam berbahasa Melayu atau Bahasa Inggeris.

(d) Telah membuat pengakuan untuk tinggal menetap

(e) Jika permohonannya diluluskan, mesti angkat sumpah kerakyatan. [18]

Dengan ini, Persekutuan yang dibentuk oleh Persekutuan 1948 telah membentuk satu konsep negara bangsa Tanah Melayu yang moden dan tidak lagi bersifat tradisional Melayu sepenuhnya. Dengan itu, bermulalah era pembentukan satu negara bangsa Tanah Melayu yang moden yang menggabungkan unsur tradisional dan baru bagi melahirkan satu negara Tanah Melayu yang baru. Dengan meletakkan asas konsep kerakyatan kebangsaan dan termeterainya konsep raja berperlembagaan, maka sistem birokrasi moden dengan meletakkan Menteri Besar sebagai wakil eksekutif pentadbiran negeri-negeri Melayu dengan mengetuai Majlis Mesyuarat dan Eksekutif Negeri, kuasa autonomi yang tertentu bagi negeri dan Persekutuan, peranan dan fungsi Majlis Raja-raja yang jelas dan bertulis, serta perlembagaan negeri bagi tiap-tiap negeri, Persekutuan Tanah Melayu yang terbentuk pada tahun 1948 itu telah menjadi asas negara moden Malaysia.[19]


Lahirnya UMNO (United Malaya National Organisation)

UMNO atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu telah ditubuhkan pada 11 Mei 1946 hasil daripada kesedaran politik orang Melayu menentang pengenalan Malayan Union sejak Disember 1945. Melalui kebimbangan mereka akan kehilangan negeri, bangsa dan kebudayaan mereka, penyatuan orang Melayu menjadi begitu jelas dan bermakna sekali. Ia bolehlah dianggap sebagai satu kemuncak nasionalisme Melayu itu sendiri.[20] Ketika ditubuhkan, UMNO menerima semua orang Melayu daripada pelbagai ideologi dan fahaman untuk sama-sama berjuang di bawah satu slogan “Hidup Melayu”. Tetapi sebelum 11 Mei 1946, orang Melayu sudah mempunyai parti atau persatuan yang berselerak di seluruh Tanah Melayu dan tidak bersatu akibat dasar pecah perintah pihak British. Pertubuhan Melayu Perak, Selangor, Johor, Kedah, Seberkas, API, Insaf, Perkemam, KMM (yang diharamkan oleh pihak Inggeris sebelum Jepun menduduki Tanah Melayu) dan berbagai-bagai lagi persatuan yang bersifat kenegerian atau kesukuan seperti Persatuan Anak Jawa, Anak Kalimantan, Sumatera dan sebagainya telah bertekad meleburkan identiti sempit mereka masing-masing dan seterusnya menyamakan identiti di bawah satu parti politik yang sama, iaitu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi di bawah payung UMNO.[21] UMNO merupakan sebuah parti yang merangkumi beberapa persatuan dan pertubuhan dari negeri-negeri di Tanah Melayu yang telah bergabung untuk menentang Malayan Union. Dato’ Onn Jaafar merupakan presiden UMNO yang pertama.

Menurut Mohd. Isa Othman, UMNO tidak muncul sebagai sebuah pertubuhan yang inginkan kemerdekaan. Ini adalah berdasarkan ucapan wakil-wakil persatuan negeri-negeri Melayu di mana tidak seorang pun yang menuntut kemerdekaan daripada pihak British. Mereka cuma melaungkan perasaan kesal terhadap perubahan dasar British yang akan menggabungkan negeri-negeri Melayu dan juga memberi taraf kerakyatan kepada beribu-ribu kaum pendatang yang tidak ada sebarang kaitan dengan Tanah Melayu. Bagi mereka, pihak British telah mengkhianati bangsa Melayu dengan memperkenalkan Malayan Union dan mereka telah mencadangkan cara untuk memperbaiki semula antara orang-orang Melayu dengan pihak British ialah dengan mengembalikan semula keadaan politik seperti sebelum tahun 1941. Namun cadangan ini tidak dapat diterima oleh British. Wakil-wakil Melayu pada masa itu dengan terus terang menjelaskan bahawa mereka tidak menginginkan kemerdekaan tetapi hanya naungan daripada pihak British agar kedudukan bangsa Melayu tidak terancam.[22] Dato’ Onn juga ada menyatakan alasan mengenai UMNO yang menolak kemerdekaan penuh ke atas Tanah Malayu kerana bagi beliau, orang Melayu belum cukup terlatih untuk mentadbir negara yang merdeka. Kata beliau:

“Saya ada mendengar beberapa pihak berkehendakkan kemerdekaan penuh, atas tuntutan itu hendaklah kita tunjukkan kebolehan kita supaya barang yang sudah kita pegang itu tidak terlepas daripada tangan kita… saya bertanya seorang daripadanya bagaimana caranya merdeka. Saya yang akan jalankan pemerintahan itu. Adakah cukup dengan seorang yang dipertua sahaja? Bagaimana menterinya, sudahkah disusunkan? Adakah orang-orang Melayu itu sudah cukup layak menjadi Menteri Besar dan menteri-menteri keamanan, pelajaran, keselamatan dan sebagainya?... Bagaimana hendak menjalankan kerajaan jika kita sendiri tiada orang?”[23]

Ketika UMNO di ambang permulaan perjuangannya, masyarakat Melayu hidup dalam keadaan miskin, daif dan serba kekurangan. Ahli UMNO ketika itu hanya berbekalkan semangat waja dan tidak mempunyai sebarang kepentingan seperti jawatan, pangkat dan harta kekayaan. Apa yang mereka miliki hanyalah cita-cita untuk menghalau penjajah dari Tanah Melayu. Pada peringkat awal juga, mereka hanya menggunakan pendekatan yang sederhana dan tidak bercorak radikal. Antara kejayaan UMNO selain menumbangkan Malayan Union ialah mewujudkan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka dan berjaya memulihkan kedaulatan raja-raja Melayu. UMNO telah mendapat kerjasama daripada raja-raja Melayu dalam pemulauan perlantikan Edward Gent sebagai Gabenor Malayan Union pada 1 April 1946. UMNO juga mendapat kerjasama orang-orang Melayu dengan melakukan perkabungan selama 7 hari dan memakai songkok putih yang berlilit kain hitam sebagai tanda kematian hak mereka.[24] Akhirnya, UMNO berjaya membuatkan pihak berkuasa Malayan Union untuk berunding. Oleh itu, mulai Mei 1946 pihak British mula berbincang dengan raja-raja Melayu dan UMNO.

Penubuhan UMNO telah mendapat sokongan daripada bekas pegawai British seperti R.O. Winsted dan Frank Swettenham. Selain dari itu, anggota parti Konservatif Britain yang mengecam bahawa Malayan Union merupakan satu tindakan yang akan memusnahkan orang Melayu. Mereka turut meminta agar pihak British mengkaji bantahan orang-orang Melayu secara dekat. Penentangan UMNO terhadap Malayan Union turut menarik perhatian raja-raja Melayu pada akhirnya. Raja-raja Melayu mula sedar kesilapan mereka menyerahkan semua kuasa pentadbiran dan kedaulatan dalam perjanjian MacMicheal.[25]

Hubungan Kaum

Sebelum Perang Dunia Kedua, hubungan antara kaum terpisah oleh faktor ekonomi, tempat tinggal dan sistem pendidikan. Kehidupan, pekerjaan dan sistem persekolahan yang berbeza tidak memungkinkan kaum Melayu, Cina dan India dapat berintegrasi antara antara satu sama lain. Rata-rata mereka hidup berkelompok dalam kumpulan mereka. Semasa pendudukan Jepun, pentadbiran Jepun telah menggariskan pembahagian yang jelas iaitu layanan yang agak baik kepada orang-orang Melayu dan orang India. Tetapi, orang Cina dilayan dengan buruk kerana orang Cina telah memberikan sokongan dan bantuan kepada China dalam perang menentang pencerobohan Jepun ke atas China pada tahun 1937. Pihak Jepun mengamalkan dasar perkauman untuk memenangi sokongan daripada sebahagian penduduk tempatan. Mereka telah memainkan peranan dalam membangkitkan perasaan perkauman antara orang Melayu dan Cina.[26]

Hubungan antara kaum di Tanah Melayu dirumitkan lagi dengan pengenalan rancangan Malayan Union pada 1 April 1946. Rancangan itu diterima dan disambut baik oleh kebanyakan orang Cina dan India kerana menjanjikan persamaan taraf dengan orang Melayu. Sebaliknya, rancangan itu mendapat bantahan hebat daripada orang Melayu. Antara sebabnya ialah hak kewarganegaraan yang longgar kepada kaum bukan Melayu dan dilihat boleh menjejaskan kedudukan serta hak istimewa mereka. [27] Syor mengenai kewarganegaraan adalah longgar dan menyatakan bahawa sesiapa yang dilahirkan di Tanah Melayu dan Singapura boleh memperolehi hak kerakyatan Malayan Union.

Peruntukan hak kewarganegaraan Malayan Union telah memperhebatkan lagi perasaan perkauman yang sedang meluap-luap ekoran pendudukan Jepun dan kebangkitan MPAJA. Pada pandangan orang Melayu, syarat kewarganegaraan Malayan Union akan menjejaskan hak dan kepentingan politik mereka sebagai penduduk asal Tanah Melayu. Mereka bimbang akan menjadi masyarakat minoriti dan melihatnya sebagai satu penjajahan ke atas Tanah Melayu. Tetapi sebaliknya pula berlaku apabila rata-rata orang bukan Melayu terutamanya orang Cina menyambut baik rancangan Malayan Union kerana mereka diakui sebagai warganegara dengan kedudukan yang sama rata dengan orang Melayu.

Orang Melayu menentang Malayan Union dan menimbulkan perasaan tidak senang terhadap orang bukan Melayu. Usul baru ini juga jelas menunjukkan suatu percubaan politik British untuk menguasai Tanah Melayu. Ia mengandungi langkah ke arah pemerintahan secara lansung oleh British dan peruntukan hak kewarganegaraan ini di lihat sebagai usaha memperbaiki kedudukan politik orang bukan Melayu.[28]

Kedudukan Raja-raja Melayu

Malayan Union telah mengakibatkan kekuasaan dan kedaulatan raja-raja Melayu dihapuskan oleh British. Raja-raja Melayu tidak lagi mempunyai peranan sebagai ketua kerajaan negeri masing-masing dan pengaruh mereka hanya dihadkan dalam hal ehwal agama Islam dan adat istiadat orang-orang Melayu. Akhbar Majlis telah mentafsirkan kedudukan raja-raja sebagai mufti dalam negeri mereka dan dalam urusan hal ehwal agama Islam pun kuasa mereka terletak di bawah kawalan Gabenor Malayan Union.[29] Kerajaan British mempunyai kuasa penuh untuk melaksanakan apa jua dasar di Tanah Melayu dan ini telah mengakibatkan kedaulatan negeri-negeri Melayu yang terletak di tangan raja-raja Melayu berpindah ke tangan pihak British.

Tindakan pihak British dalam usaha untuk melaksanakan rancangan Malayan Union telah dipersoalkan oleh orang-orang Melayu kerana cara yang digunakan untuk memperoleh tandatangan raja-raja Melayu dalam persetujuan rancangan tersebut telah membuktikan bahawa pihak British tidak jujur. Sultan atau raja-raja diugut dan tidak diberi peluang untuk berunding dengan rakyat untuk membuat keputusan yang begitu penting dan mempunyai kesan yang serius terhadap masa depan orang Melayu. Oleh sebab itulah orang-orang Melayu bangun dan membantah tindakan raja-raja mereka yang menyerahkan negeri-negeri Melayu kepada pihak British. Akibatnya, raja-raja Melayu dianggap mengkhianati rakyat mereka sendiri dan orang-orang Melayu tidak lagi percaya dan berharap kepada kerajaan British. Bagi mereka, rancangan Malayan Union akan mengubah rupa bentuk negeri-negeri Melayu serta ciri-ciri kemelayuan akan hilang sama sekali dan akan digantikan dengan ciri-ciri yang disebut sebagai “Malayan”. Raja-raja Melayu dan pihak British telah menghadapi tekanan yang serius daripada orang Melayu. Mohd. Isa Othman mengatakan bahawa buat pertama kalinya dalam sejarah orang Melayu, raja-raja hampir dipulaukan oleh rakyat mereka sendiri.[30]

Berdasarkan daripada rencana-rencana yang diterbitkan dalam akhbar Melayu seperti Majlis, Warta Negara dan Utusan Melayu, raja-raja dikritik kerana telah menggadai hak rakyat mereka kepada pihak British untuk kepentingan kedudukan masing-masing. Berdasarkan kepada rencana-rencana tulisan Ayub Abdullah yang diterbitkan dalam akhbar Majlis pada 4, 5 dan 6 Januari 1946, membuktikan bahawa orang Melayu tidak lagi dikongkong oleh sikap feudal dan taat setia tanpa soal. Menurut Ayub Abdullah, raja-raja Melayu diingatkan bahawa mereka tidak boleh bertindak untuk satu pihak bagi membuat sesuatu keputusan yang akan melibatkan rakyat dan negeri tanpa mendapat persetujuan daripada rakyat terlebih dahulu. Sultan mesti akur kepada kehendak rakyat kerana bukan raja sahaja yang berdaulat, tetapi daulat rakyat jauh lebih tinggi daripada daulat raja.[31] Peristiwa daripada Malayan Union telah menunjukkan dengan jelas bahawa orang-orang Melayu telah menghadapi perubahan dari segi ideologi politik di mana raja-raja tidak lagi dianggap sebagai kuasa monopoli dalam kegiatan politik bangsa Melayu. Raja-raja Melayu telah menyedari bahawa mereka telah kehilangan kuasa mutlak dan pihak British juga sedar yang raja-raja tidak dapat memujuk rakyat mereka untuk menerima sebarang dasar yang diperkenalkan oleh British jika ianya tidak mendapat persetujuan daripada rakyat. Misalnya sultan Johor, Sultan Ibrahim telah dipulau oleh rakyatnya setelah didapati baginda menandatangani persetujuan rancangan Malayan Union tanpa berbincang dengan pegawai-pegawai kerajaannya. Walaupun imej Sultan Ibrahim dapat dipulihkan tetapi kedudukannya sebagai seorang raja yang berkuasa penuh telah hilang sama sekali.[32] Baginda hampir digulingkan kerana telah melanggar Fasal 15, Undang-undang Tubuh Johor 1895 yang menyatakan bahawa Sultan Johor yang menyerahkan sebarang kawasan Johor kepada kuasa luar patut digulingkan.[33]

Syarat-syarat Perjanjian Malayan Union

Ciri-ciri penting yang terdapat dalam Perlembagaan Malayan Union ialah perubahan taraf negeri-negeri Melayu daripada negeri bernaung kepada tanah jajahan British. Ini bermakna kerajaan British berkuasa penuh ke atas seluruh pentadbiraan Tanah Melayu. Perlembagaan Malayan Union yang dicadangkan itu mengandungi ciri-ciri berikut :

a) Semua negeri-negeri Malayu, termasuk Pulau Pinang dan Melaka disatukan di bawah satu kerajaan pusat. Singapura tidak termasuk dalam Malayan Union dan kekal sebagai tanah jajahan dengan mempunyai Gabenor dan Majlis Mesyuarat Undangan yang berasingan.

b) Malayan Union diketuai oleh seorang Gabenor yang diberi kuasa penuh ke atas perkhidmatan awam. Beliau dibantu oleh sebuah Majlis Mesyuarat Undangan dan Majlis Kerja.

c) Pesuruhjaya Residen menjadi ketua pentadbir tertinggi di negeri-negeri Melayu dan Negeri-Negeri Selat. Beliau juga menjadi Pengerusi Majlis Mesyuarat Negeri yang terletak di bawah kawalan kerajaan pusat.

d) Majlis Mesyuarat Negeri dikekalkan untuk menguruskan hal-hal tempatan dan berada dibawah kawalan kerajaan pusat. Semua ahli majlis terdiri daripada pegawai British.

e) Majlis Mesyurat Undangan mempunyai bilangan ahli rasmi dan ahli tidak rasmi yang sama banyak. Gabenor berkuasa meluluskan dan membatalkan sesuatu undang-undang. Semua undang-undang yang diluluskan tidak memerlukan tandatangan Sultan untuk dikuatkuasakan.

Perlembagaan Malayan Union telah memberikan hak kewarganegaraan yang sama kepada semua orang tanpa mengira bangsa dan asal keturunannya. Hak ini termasuk peluang untuk memasuki perkhidmatan awam dan mengundi dalam pilihan raya. Kaum bukan Melayu menikmati hak kewarganegaraan yang longgar melalui prinsip Jus Soli.

Terdapat dua ciri utama dalam kerakyatan secara prinsip Jus Soli ini iaitu melalui kuatkuasa undang-undang dan secara permohonan. Kewarganegaraan secara kuat kuasa undang-undang diberi kepada :

a) Mereka yang dilahirkan di negeri-negeri Malayan Union atau Singapura serta bermastautin sebelum perintah itu dikuatkuasakan.

b) Sesiapa yang berumur sekurang-kurangnya 18 tahun atau ke atas dan telah bermastautin di negeri-negeri Malayan Union atau Singapura selama 10 tahun dari 15 tahun sebelum 15 Februari 1942 dan bersumpah taat setia kepada Malayan Union.

c) Sesiapa yang dilahirkan di luar Malayan Union atau Singapura pada masa atau selepas perintah itu dikuatkuasakan akan diberi kerakyatan jika ibu bapanya adalah warga Malayan Union. Begitu juga dengan kanak-kanak yang di bawah umur 18 tahun.[34]

Kerakyatan Malayan Union secara permohonan diberikan kepada :

a) Sesiapa yang bermastautin di negeri-negeri Malayan Union atau Singapura selama lima tahun dari lapan tahun terdahulu semasa membuat permohonan.

b) Mereka yang berkelakuan baik dan mempunyai pengetahuan yang cukup atau boleh bertutur dalam bahasa Malayu atau bahasa Inggeris.

c) Jika permohonan mereka diluluskan, mereka akan kekal bermastautin di Malayan Union atau Singapura.[35]

Ciri-ciri Perlembagaan PersekutuanTanah Melayu 1948

a) Persekutuan Tanah Melayu mengandungi sembilan buah negeri Melayu dan dua buah Negeri-Negeri Selat, iaitu Pulau Pinang dan Melaka. Singapura dikekalkan sebagai sebuah tanah jajahan British yang berasingan.

b) Kerajaan Persekutuan diketuai oleh seorang Pesuruhjaya Tinggi British yang mempunyai kuasa perundangan dan pentadbiran yang luas.

c) Majlis Mesyuarat Kerja dan Majlis Undangan Persekutuan ditubuhkan untuk membantu Pesuruhjaya Tinggi British. Majlis Mesyuarat Kerja mengandungi 17 orang ahli (tujuh orang ahli rasmi, tujuh orang ahli tidak rasmi dan tiga orang ahli bekas pegawai, iaitu Ketua Setiausaha, Peguam Negara dan Setiausaha Kewangan). Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan yang dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Tinggi British yang terdiri daripada 75 orang ahli. Ahli-ahli dalam Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan termasuklah :

(i) 14 ahli rasmi daripada kalangan pegawai kerajaan.

(ii) Sembilan orang Yang Dipertua Majlis Mesyuarat Undangan Negeri yang menjadi Menteri-menteri Besar di negeri-negeri Melayu.

(iii) Dua orang wakil daripada Majlis Mesyuarat Negeri bagi negeri Melaka dan Pulau Pinang.

(iv) 50 ahli tidak rasmi yang dilantik bagi mewakili pelbagai pihak seperti kaum bukan Melayu dan orang Eropah, ahli perniagaan, kesatuan buruh, sektor perladangan, sektor perlombongan dan lain-lain.

d) Penubuhan sebuah Majlis Raja-Raja Melayu yang ditugaskan untuk menasihati Pesuruhjaya Tinggi British.

e) Penubuhan Majlis Mesyuarat Undangan Negeri di peringkat negeri yang berperanan seperti Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan.

f) Jawatan Menteri Besar diwujudkan bagi menggantikan jawatan Residen British.

g) Kuasa kerajaan negeri diperluaskan meliputi kewangan, kesihatan dan kerajaan tempatan.

h) Pemberian kerakyatan kepada orang asing yang bermastautin di Tanah Melayu.

Dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948, mereka yang dianggap sebagai warganegara Persekutuan Tanah Melayu ialah :

a) Mana-mana rakyat Raja di yang dilahirkan di negeri-negeri Melayu yang lahir sebelum, pada atau selepas dikuatkuasakan.

b) Mana-mana Rakyat British yang dilahirkan di Melaka atau Pulau Pinang, dan menetap selama 15 tahun di mana-mana negeri dalam Persekutuan.

c) Mana-mana Rakyat British yang dilahirkan dalam Persekutuan :

(i) Jika bapanya sendiri dilahirkan di mana-mana negeri dalam Persekutuan.

(ii) Jika bapanya telah menetap selama 15 tahun dalam Persekutuan.

d) Mereka yang dilahirkan di mana-mana negeri dalam Persekutuan dan bertutur dalam bahasa Melayu dan mengamalkan adat resam Melayu.[36]

Penduduk lain yang layak memohon menjadi warganegara dengan syarat-syarat :

a) Sama ada ;

(i) Dilahirkan di Persekutuan dan menetap sekurang-kurangnya selama lapan tahun daripada 12 tahun sebelum permohonan; atau

(ii) Telah menetap selama 15 tahun daripada 20 tahun sebelum permohonan.

b) Berkelakuan baik, berpengetahuan dalam bahasa Melayu atau Inggeris, berjanji akan menetap dan berumur tidak kurang dari 18 tahun.[37]

7.0 PENILAIAN

Penubuhan Malayan Union sebenarnya merupakan faktor yang amat penting dalam proses kemerdekaan Tanah Melayu seterusnya dalam pembentukan Malaysia pada tahun 1963.

Alam Melayu seperti yang diketahui telah dijajah oleh kuasa-kuasa Barat yang rakus dalam mengaut hasil-hasil bumi yang berharga terutama bijih timah.Bukan itu sahaja,malahan pihak penjajah juga telah memperkenalkan pelbagai polisi dalam pemerintahan dari segi pelbagai aspek seperti ekonomi,sosial,pendidikan dan hubungan anggota masyarakat yang lebih kepada sifat perkauman. Penjajah Barat terutama ketika era pemerintahan kolonisasi Inggeris telah mempergiatkan kemasukan buruh-buruh asing dalam sistem ekonomi seterusnya mewujudkan sistem kemasyarakatan yang terasing antara 3 kaum besar di Tanah Melayu iaitu kaum Melayu, Cina dan India.

Keadaan ini telah menyebabkan rakyat Melayu pada ketika itu menderita di bumi sendiri sementara pihak penjajah Inggeris semakin berkuasa dalam pemerintahan Tanah Melayu sehingga dilihat telah mula mencampuri kuasa-kuasa sultan dalam hal-hal yang berkaitan dengan kesucian agama islam.

Dalam hal ini pembesar-pembesar tempatan seperti Dato Maharaja Lela,Dato Bahaman,Tok Janggut dan sebagainya telah bangkit menentang Inggeris.Walaupun sebahagian besar daripada penentangan-penentangan ini gagal,namun ia merupakan pemangkin utama terhadap penetangan-penentangan seterusnya yang lebih bercorak moden seperti melalui akhbar-akhbar dan persatuan-persatuan yang membela hak-hak istimewa orang Melayu.

Abad ke-20 merupakan era kebangkitan orang-orang Melayu dalam menentang kuasa-kuasa penjajah.Pada ketika ini telah muncul beberapa tokoh penting dalam menyebarkan ideologi ’nasionalisme’dalam usaha memerdekakan Tanah Melayu. Seperi Dato Onn Jaafar,Tunku Abdul Rahman,Ibrahim Yaakob dan Burhanuddin Helmi.

Pada masa yang sama juga Jepun yang muncul sebagai kuasa besar di Timur pada ketika itu selepas menewaskan Russia telah tiba di Tanah Melayu. Jepun dilihat oleh orang-orang Melayu sebagai wira Timur dalam menentang penjajah Barat seterusnya dikatakan mampu membawa kemerdekaan dan kemajuan kepada Tanah Melayu terutaman melalui propaganda dan slogan-slogan mereka yang berbunyi”Asia untuk Asia”.Namun seperti pepatah melayu ‘ku sangka panas hingga ke petang,rupanya hujan di tengah hari’ pemerintahan Jepun di Tanah Melayu lebih teruk berbanding dengan pemerintahan Inggeris. Sistem ekonomi Tanah Melayu pada waktu itu lumpuh,rakyat menderita kebuluran dan diserang pelbagai wabak-wabak penyakit, orang-orang Melayu dijepunkan melalui sistem pendidikan,akhbar dan pemerintahan awam.Kemarahan orang-orang Melayu semakin meningkat dan menggangap pihak Jepun sama sahaja dengan kuasa-kuasa penjajah Barat yang lain.

Namun pemerintahan Jepun di Tanah Melayu tidak bertahan lama setelah bom atom digugurkan di Hiroshima dan Nagasaki. Rentetan daripada peristiwa tersebut pihak Jepun telah menyerah kalah dan berakhirlah Perang Dunia Kedua. Menyedari kepentingan saki-baki ekonomi yang masih tertinggal di Tanah Melayu,British dengan segera telah menjalankan pemerintahan bercorak ketenteraan dalam usaha untuk menjajah Tanah Melayu semula. Tetapi masyarakat Melayu telah sedar bahawa hasrat pihak Inggeris bertapak semula di tanah Melayu hanya semata-mata ingin mengulangi sikap biadab mereka untuk meragut semula hasil-hasil bumi yang berharga untuk disalurkan ke Britain. Tambahan pula langkah Inggeris memperkenalkan Malayan Union dilihat merugikan dan menghapus hak-hak istimewa orang-orang Melayu lantas ditentang secara habis-habisan oleh sultan-sultan,para pembesar tempatan dan orang-orang Melayu melalui pelbagai bentuk seperi akhbar,persatuan,orang perseorangan,kongres,pemulauan dan perhimpunan awam. Akhirnya setelah melalui pelbagai kepayahan dan cabaran akhirnya Tanah Melayu berjaya mencapai kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957.

Menyedari hakikat bahawa penyatuan Tanah Melayu bersama Sabah dan Sarawak dilihat begitu penting dan amat perlu disebabkan faktor-faktor keselamatan,keseimbangan kaum dan untuk memelihara kepentingan Sabah dan Sarawak yang turut ditimpa nasib yang sama dengan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman selaku pemimpin Tanah Melayu pada ketika itu menyalurkan hasrat beliau tentang pembentukan ’Malaysia’. Walaupun pemimpin-pemimpin politik di Sabah dab Sarawak menolak pada mulanya,tetapi akhirnya mereka telah bersetuju dengan pembentukan tersebut setelah melihat pelbagai kemajuan yang telah dicapai oleh Tanah Melayu dalam masa yang singkat. Penubuhan Malaysia juga dilihat mampu membawa kemajuan yang drastik kepada kedua-dua buah wilayah tersebut. Akhirnya Sabah dan Sarawak telah mencapai kemerdekaan melalui Tanah Melayu pada 16 September 1963 walaupun menghadapi tentangan daripada Filipina,Brunei dan Konfrontasi dari Indonesia

Malaysia yang kita lihat pada hari ini merupakan hasil usaha dan keazaman pemimpin-pemimpin tempatan dan masyarakat setempat dalam langkah memerdekakan Tanah Melayu dan menyokong pembentukan Malaysia. Hasilnya pelbagai bidang ekonomi seperti perniagaan,pertanian,penternakan,perindustrian,juga pemerintahan negara dan sistem pendidikan dan hubungan masyarakat serta kemudahan sosial dapat dikecapi bersama. Melalui kebangkitan masyarakat setempat dalam menentang Malayan Union seterusnya menuntut kemerdekaan adalah amat mustahil bagi masyarakat Malaysia pada ketika ini maju dan mampu bersaing setaraf dengan negara-negara maju yang lain. Seharusnya kemerdekaan ini dihargai dan dipertahankan oleh seluruh masyarakat Malaysia terutama dalam menghadapi era yang kian mencabar pada masa hadapan.

8.0 KESIMPULAN

· Dapat di simpulkan terdapat banyak faktor yang membawa kepada penubuhan Malayan Union ini oleh British.Walau pun pihak British cuba berselindung yang kononnya demi kepentingan penduduk Tanah Melayu, namun terlihat bagaimana British menubuhkan Malayan Union ini adalah semata-mata demi kepentingan ekonomi mereka di Tanah Melayu.Cara-cara penubuhan yang tidak di persetujui oleh semua peringkat sosial masyarakat Melayu telah membawa kepada banyak penentangan yang akhirnya berjaya mengagalkan perlembagaan Malayan Union ini daripada di laksanakan sepenuhnya.Bagi mengagalkan perlaksanaan Malayan Union ini, pemimpin-pemimpin Tanah Melayu serta rakyat telah melakukan banyak bentuk penentangan yang rata-rata penentangan ini berlaku untuk memastikan Malayan Union tidak di laksanakan.Daripada peristiwa Malayan Union ini, dapat di lihat kesan peristiwa Malayan Union yang telah banyak mengubah corak dan mempengaruhi politik, budaya dan sosial Malaysia khususnya Tanah Melayu.




[1] Nazaruddin Hj Mohd Jali, 2001. Pengajian Malaysia Kenegaraan dan Kewarganegaraan Edisi Kedua; m/s 41.

[2] Pengajian Malaysia, Intipati dan syarat-syarat Malayan union bab 2. m/s 52.

[3] http//ms.Wikipedia.org/wiki/Malayan_union

[4] Nazaruddin Hj Mohd Jali, et.al, Pengajian Malaysia Kenegaraan dan Kewarganegaraan, Edisi Kedua, Pearson Education Malaysia Sdn.Bhd., 2001, Hlm. 41.

[5] Puan Habibah Zon dan En.Abdul Aziz Ismail., Hari Ini Dalam Sejarah (Jilid IV)., Arkib Negara Malaysia., Kuala Lumpur : Percetakan Negara 1980, hlm. 33.

[6] Ibid., Hlm. 33.

[7] Op cit, Nazaruddin Hj Mohd Jali, et.al., Hlm. 42.

[8] Ibrahim Mahmood.,SEJARAH PERJUANGAN BANGSA MELAYU : Suatu Penyingkapan Kembali Sejarah Perjuangan Bangsa Melayu Menuju Kemerdekaan.,Penerbitan Pustaka Antara Kuala Lumpur.,Cetakan Pertama 1981., hlm. 58.

[9] Abdul Rahman Hj. Ismail., MALAYSIA: Sejarah Kenegaraan dan Politik., Kuala Lumpur, Dewan Bahasa Dan Pustaka,. Hlm 325.

[10] Hj.Dr.Syed Ibrahim, Malaysia Kita: Panduan dan Rujukan Untuk Peperiksaan Am Kerajaan, Selangor,

International Law Book Servces, hlm.105.

[11] Ruslan Zainuddin, Sejarah Malaysia, Fajar Bakti Sdn. Bhd. , Selangor, 2003, hlm.242.

[12] Ibid. , hlm. 426.

[13] Ibid.

[14] Zainal Abidin Abdul Wahid et.al.1996 , MALAYSIA : Warisan dan Perkembangan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. hlm. 281.

[15] Mohd Idris Saleh, Che Su Mustaffa dan Fauziah Shaffie, Sejarah Pembangunan Bangsa dan Negara, Utusan Publication and Distributors Sdn. Bhd., Kuala Lumpur,1994, hlm. 87

[16] Ibid, hlm. 91.

[17] Ibid.

[18]. Ramlah Adam, Kemelut Politik Semenanjung Tanah Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1998, hlm. 217.

[19] Ibid, hlm.218.

[20] Ibid, hlm. 1.

[21] Ahmad Atory Husain, Dimensi Politik Melayu 1980 – 1990 : Antara Kepentingan dan Wawasan Bangsa, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1993, hlm. 1.

[22] Mohd. Isa Othman, Sejarah Malaysia (1800 – 1963), Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd., Selangor, 2002, hlm. 328.

[23] Ramlah Adam, Op. Cit., hlm. 18.

[24] Ibid, hlm. 8.

[25] Ibid, hlm. 11.

[26] Ho Hui Ling, Darurat 1948 – 1960 : Keadaan Sosial di Tanah Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 2004, hlm. 128.

[27] Ibid, hlm. 130.

[28] Ibid, hlm. 131.

[29] Mohd. Isa Othman, Op. Cit., hlm. 325.

[30] Ibid, hlm. 327.

[31] Ibid.

[32] Ibid, hlm. 328.

[33] Ramlah Adam, Op. Cit., hlm. 5.

[34] Ramlah Adam, Kemelut Politik Semenanjung Tanah Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1998, hlm. 211.

[35] Ibid.

[36] Ibid, hlm. 215.

[37] Ibid, hlm. 217.



Bobliografi

Abdul Rahman Hj. Ismail., MALAYSIA: Sejarah Kenegaraan dan Politik., Kuala Lumpur, Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Ahmad Atory Husain. 1993. Dimensi Politik Melayu 1980 – 1990 : Antara Kepentingan dan

Wawasan Bangsa. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.

Hj.Dr.Syed Ibrahim, Malaysia Kita: Panduan dan Rujukan Untuk Peperiksaan Am Kerajaan, Selangor,International Law Book Servces

Ho Hui Ling. 2004. Darurat 1948 – 1960 : Keadaan Sosial di Tanah Melayu. Universiti Malaya.

Kuala Lumpur.

Ibrahim Mahmood.1981.SEJARAH PERJUANGAN BANGSA MELAYU : Suatu Penyingkapan Kembali Sejarah Perjuangan Bangsa Melayu Menuju Kemerdekaan.,Penerbitan Pustaka Antara Kuala Lumpur.,Cetakan Pertama

Mohd Idris Saleh, Che Su Mustaffa dan Fauziah Shaffie. 1194. Sejarah Pembangunan Bangsa

dan Negara. Utusan Publication and Distributors Sdn. Bhd.. Kuala Lumpur.

Mohd. Isa Othman. 2002. Sejarah Malaysia (1800 – 1963). Utusan Publication & Distributors

Sdn. Bhd.. Selangor.

Nazaruddin Hj Mohd Jali. 2001. Pengajian Malaysia Kenegaraan dan Kewarganegaraan Edisi Kedua. Pearson Education Malaysia Sdn.Bhd.

Puan Habibah Zon dan En.Abdul Aziz Ismail. 1980. Hari Ini Dalam Sejarah (Jilid IV)., Arkib Negara Malaysia., Kuala Lumpur : Percetakan Negara

Ramlah Adam. 1998. Kemelut Politik Semenanjung Tanah Melayu. Universiti Malaya. Kuala

Lumpur.

Zainal Abidin Abdul Wahid et.al. MALAYSIA : Warisan dan Perkembangan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka. 1996.

4 comments:

  1. izinkan saya ambil beberapa butiran untuk kerja sekolah saya .terima kasih

    ReplyDelete
  2. terima kasih sgt..semoga segala urusan pemilik blog ini dipermudahkan...saya memohon izin untuk mengambil butiran yg dikongsi ya..untk tujuan kerja sekolah sej saya..

    ReplyDelete
  3. Terima Kasih kepada pemilik blog ini. Sangat membantu saya dlm urusan kerja sekolah saya. Izinkan saya mengambil butiran ini.

    ReplyDelete